BENARLAH Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed seorang yang jujur.
Maka tidak berbohonglah veteran politik negara Tun Daim Zainuddin melabelkan Dato’ Pa sebagai ‘budak baik’.
Anak jati Kelantan merangkap Ahli Parlimen Jeli itu mungkin anggota Kabinet paling tulus pernah ada dalam kerajaan Malaysia.
Perlu bukti apa lagi? Sila baca kenyataan terbaru oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) baru-baru ini.
Dato’ Pa dalam kenyataannya mengenai prospek ekonomi pada 25 Mei berterus terang bahawa negara tidak mampu untuk melaksanakan ‘total lockdown’.
Kenyataan itu dibuat disebalik begitu kuat desakan supaya Malaysia melaksanakan ‘total lockdown’ bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.
Sehinggakan kerajaan Malaysia akhirnya terpaksa mengumumkan pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Sebagai ahli politik berpengalaman pasti Dato’ Pa bukan seorang yang bodoh untuk tidak menyedari apakah implikasi menongkah arus.
Tetapi itulah Dato’ Pa. Berkatalah benar walaupun pahit. Tanpa kebenaran, kehidupan diselubungi dusta dan pembohongan.
Meskipun menyedari kenyataan itu tidak popular dalam kalangan anggota masyarakat, tetapi itulah realiti yang perlu diketengahkan.
Menurut Dato’ Pa, sekiranya kerajaan memutuskan melaksanakan ‘total lockdown’ momentum pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.
Sedangkan prestasi ekonomi negara telah pun mula mengukuh pada Mac 2021 kepada pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus.
“Prestasi yang baik ini adalah selaras dengan kadar pertumbuhan KDNK pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’, momentum pertumbuhan ini akan terjejas.”

Dato’ Pa turut memaklumkan ‘total lockdown’ akan menyebabkan kadar penggangguran meningkat dengan mendadak.
Bilangan isi rumah miskin bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar terjejas dan kedudukan fiskal dalam keadaan yang lebih mencabar.
“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan,” jelas Dato’ Pa lagi.
Apapun keputusan untuk ‘total lockdown’ telah dibuat kerajaan walaupun pelaksanaannya tidaklah seperti PKP 1.0.
Dan Dato’ Pa telah berkata benar. Kini kita terpaksa mengharapkan kebijaksanaan Dato’ Pa sekali lagi.
Kebijaksanaan bagi mengurangkan impak ‘total lockdown’ kepada ekonomi negara dan rakyat pula.
Semoga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) diberi kekuatan yang sama seperti kekuatan beliau memulihkan ekonomi negara sebelum ini. – Mynewshub.TV