KUALA LUMPUR – Lagi berita palsu mengenai kematian Tun Abdullah Ahmad Badawi tersebar di media sosial.
Berita itu dinafikan Pejabat Abdullah dalam kenyataan hari ini sambil menjelaskan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan sihat di samping keluarga.
Sehubungan itu juga, Pejabat Abdullah menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu.
“Pihak pengurusan berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan daripada pihak berautoriti sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelakkan kekeliruan,” kata kenyataan itu.
Pada tahun lalu, tiga dakwaan mengenai kematian Abdullah tular menyebabkan satu laporan polis terpaksa dibuat pihak pengurusan pejabat beliau.
Kali terakhir berita palsu Abdullah meninggal dunia adalah pada 22 April lalu menerusi Facebook (FB).
Berita palsu itu disebarkan menerusi penularan tangkap layar paparan FB yang mengaitkan kematian bekas pemimpin negara yang mesra disapa Pak Lah itu.
Pada 2 Ogos tahun lalu, media sosial gempar apabila terdapat mesej mengenai keadaan kesihatan Perdana Menteri kelima dari 2003 hingga 2009.
Pada November tahun lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dua individu, termasuk penulis artikel sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penularan berita berkenaan. – BH Online