Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Cacar Monyet: Singapura Sahkan...

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan kes tempatan kedua jangkitan cacar monyet melibatkan seorang...

Peminat Taja Konsert Khai...

BOLEH dikatakan pembabitannya dalam industri hiburan tanah air baru setahun jagung, namun nama...

Pejuang Hamas Maut Dibedil...

GAZA - Seorang pejuang Hamas maut ditembak kereta kebal Israel di sebuah pos...

Kos Sara Hidup Meningkat...

KUALA LUMPUR - Kumpulan pengguna bersetuju bahawa peningkatan kos sara hidup yang menjadi...

COVID-19: Ada Pesakit Tak Jujur Status Kesihatan

PUTRAJAYA – Meskipun sudah lebih setahun negara berjuang memerangi COVID-19, kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyakit berkenaan masih belum dapat mengubah tingkah laku dan tindakan dalam menghadapi virus maut itu.

Ini dapat dilihat apabila masih ada yang tidak jujur mengenai status kesihatan mereka terdedah atau menjadi kontak rapat pesakit COVID-19, ketika hadir menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).

Perkara itu dikongsikan pakar perubatan kecemasan dan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan yang menegaskan tindakan sedemikian telah membawa kesan buruk bukan saja kepada petugas kesihatan di ETD tetapi juga orang lain yang menerima rawatan.

“Sikap tidak jujur itu masih berlaku hingga kini dan tidak diketahui kenapa mereka bertindak demikian.

“Berikutan seseorang itu tidak berkata benar, kita merekod mereka sebagai tidak bergejala serta tiada kontak, yang akan disalurkan ke satu tempat bersama-sama pesakit lain yang tiada kaitan langsung dengan COVID-19.

“Ini mendedahkan virus itu kepada orang lain, terutama golongan lanjut usia dan mereka yang berisiko, hanya disebabkan sikap mendiamkan maklumat sebenar berkenaan. Jadi… boleh nampak kesannya bagaimana?” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Bagi mengurangkan risiko penularan dan mengelakkan jangkitan silang, Hospital Putrajaya terpaksa membuat pengasingan pesakit yang ada masalah pernafasan.

Dr Khairul Nizam menjelaskan, sejak hospital itu beroperasi sebagai hospital hibrid COVID-19 pada April lalu, terdapat peningkatan antara 40 hingga 60 peratus kemasukan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes positif COVID-19 di ETD.

Katanya, ada kes positif COVID-19 yang terpaksa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh atas keperluan untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).


Justeru bagi mengurangkan kesesakan di ETD dan risiko jangkitan, operasi di jabatan itu kini dalam percubaan mengubah suai waktu kehadiran pesakit bagi memastikan mereka yang tidak kritikal tidak datang pada masa sama dengan pesakit kritikal.

“Sistem baharu ini sedang dalam tempoh percubaan, bermula minggu ini, sebelum dilaksanakan sepenuhnya nanti kerana kami berpendapat ada ruang untuk mengawal pesakit daripada berkumpul di ETD dengan sistem rawatan waktu berperingkat bagi mengurangkan kesesakan.

“Kita masih dalam proses melihat sistem ini secara berperingkat dan berharap dengan kepakaran dan sumber tenaga yang ada, akan dapat melaksanakan perkara ini untuk kebaikan pesakit supaya kehadiran mereka lebih terancang,” katanya.

Dr Khairul Nizam mengaku, emosi petugas turut terjejas sejak mengendalikan situasi COVID-19 di hospital, namun tugas serta tanggungjawab masih dapat dilaksanakan dengan baik dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi menangani stres.

Usaha itu sangat penting untuk memastikan bukan saja keadaan fizikal petugas dalam keadaan terbaik tetapi juga kesediaan mental dan emosi.

Justeru, Dr Khairul Nizam berharap masyarakat dapat memahami peranan petugas kesihatan dengan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kesihatan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, mengelakkan tempat sesak serta aktiviti perkumpulan yang dilihat sangat relevan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. – BERNAMA

Kategori