KUALA LUMPUR – Ibu hamil yang sudah mendaftar dan mengemaskini status kandungan di aplikasi MySejahtera akan mendapat janji temu bagi pemberian vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) melalui hantaran di Facebook rasminya, berkata golongan itu disenaraikan sebagai penerima vaksin COVID-19 berkeutamaan tinggi dan akan diberi vaksin bersesuaian untuk mereka.
“Ibu mengandung termasuk dalam golongan berisiko tinggi apabila mempertimbangkan risiko jangkitan COVID-19 dan digalakkan mendaftar untuk vaksinasi.
“Janji temu akan diberikan secara berperingkat bagi yang sudah mendaftar dan mengemaskini status kandungan di MySejahtera.
“Keutamaan akan diberikan bergantung kepada anggaran tarikh kelahiran bayi,” menurut kenyataan itu.
Pendaftaran vaksinasi COVID-19 boleh dilakukan melalui tiga cara mudah iaitu melalui aplikasi MySejahtera, pendaftaran secara terus melalui laman web atau menghubungi talian 1800-888-828. – BH Online