KUALA LUMPUR – Isu pelantikan pegawai perubatan kontrak untuk jawatan tetap akan dibentangkan ke Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mencari penyelesaian tuntas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika memaklumkan perkembangan itu meminta semua pihak kekal bertenang, sementara polemik berkenaan diselesaikan secara menyeluruh.
Ini kerana, katanya, sektor perkhidmatan kesihatan awam negara masih bergelut dengan pelbagai usaha untuk memerangi penularan COVID-19.
“Saya perlu bawa perkara ini kepada Jemaah Menteri, dalam masa yang sama, minta bertenang. Kita masih dalam keadaan melawan pandemik virus COVID-19.
“Selain itu, semua pengarah negeri, pengarah hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melakukan sesi libat urus bersama mereka (pegawai perubatan kontrak) dengan sehabis baik.
“Dalam waktu yang sama, mereka dapat kenaikan gred dan penyelarasan gaji dari UD41 kepada UD43,” katanya kepada BH, hari ini. – BHOnline