KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya sejak awal April lalu, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia kembali di bawah 1.00 iaitu 0.99, semalam.
Kali terakhir Rt berada di bawah 1.00 pada 7 April iaitu 0.98, manakala Rt tertinggi yang pernah direkodkan tahun ini ialah 1.21 pada 23 Mei lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui perkongsiannya di Twitter, menunjukkan angka itu juga menurun berbanding angka 1.00 yang direkodkan pada Sabtu.
Namun, kebanyakan negeri masih merekodkan Rt di atas satu dengan angka paling tinggi di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 1.36.
Selain Wilayah Persekutuan Labuan, secara keseluruhan, terdapat 13 negeri yang merekodkan Rt di atas 1.00 iaitu Selangor (1.06); Sabah (1.16); Pulau Pinang (1.02); Johor (1.03); Melaka (1.10); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.05); Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.03); Negeri Sembilan (1.18); masing-masing 1.02 di Pahang, Perak dan Sarawak, manakala Terengganu (1.00).
Hanya tiga negeri merekodkan Rt di bawah 1.00 iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis.
Berdasarkan unjuran model Susceptible-Exposed-Infectious-Removed (SEIR), Rt di Malaysia boleh meningkat kepada 1.2, manakala jumlah harian kes pula berisiko melonjak kepada 13,000 jika tiada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Namun berdasarkan carta unjuran itu, grafnya mula menunjukkan penurunan dengan 6,241 kes dilaporkan semalam berbanding 7,452 kelmarin. – BH Online