KOTA BHARU – Polis Kelantan sudah merakam keterangan seorang wanita yang juga pengasas produk kosmetik didakwa mempersendakan agama Islam dan dua individu lain berhubung isu sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata wanita berusia 30-an itu diambil keterangan Isnin lalu.
“Kita sudah memanggil mereka yang terbabit dalam video yang tular itu. Setakat ini, kita sudah merakam keterangan tiga individu termasuk pengasas kosmetik berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Kita menganggap kes ini selesai kerana keterangan sudah diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan berhubung seorang wanita dipercayai pengasas produk kosmetik didakwa mempersendakan agama Islam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, dilaporkan berkata laporan diterima ibu pejabat polis daerah ini pada jam 10.25 pagi Ahad lalu.
Katanya, pengadu mendakwa melihat satu rakaman video dikongsi dalam WhatsApp memaparkan wanita Melayu lingkungan 30-an menyatakan dia tidak suka sembahyang dan semua orang tidak solat pada 2021.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad meminta pihak berwajib menyiasat dakwaan wanita beragama Islam tidak pernah sembahyang dan tidak tahu mengambil wuduk sebagaimana tular di media sosial.
Katanya, penguat kuasa agama amnya perlu menyiasat mengapa wanita itu mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bertentangan dengan ajaran Islam. – BH Online