KUALA LUMPUR – Malaysia dan Mesir akan menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala, terutama dalam konteks politik serta ekonomi.
Perkara itu dipersetujui bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dalam perbincangan yang julung kali diadakan kedua-dua pemimpin itu melalui sidang video, semalam.
Perdana Menteri berkata, beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir dan perkara itu disambut baik Abdel Fattah serta mengalu-alukan perbincangan membabitkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera.
“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.
“Mesir adalah rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lalu mencecah RM2.06 bilion.
“Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan saja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” kata Perdana Menteri melalui Facebooknya, hari ini.
Perdana Menteri memaklumkan, beliau dan Abdel Fattah turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan antara Malaysia dan Mesir pada masa hadapan.
“Dalam hal ini, saya mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani “Comprehensive Economic Cooperation” dan cadangan ini disambut baik Presiden.
“Malaysia juga menyatakan penghargaan atas peluang pendidikan yang diberikan kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini, yang mana buat masa ini, terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa terutama situasi terkini di Palestin.
Katanya, Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.
“Saya membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia dan Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan serta perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.
“Alhamdulillah, Presiden menyatakan kesediaan kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Abdel Fattah juga saling membuat undangan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing selepas pandemik COVID-19 berakhir. – BH Online