KUALA LUMPUR – Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk bersidang termasuk bagi membincangkan Pelan Pemulihan Negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Parlimen adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.
Beliau berkata, pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah wajar diterjemahkan segera dan mempolitikkan perkara itu tidak akan membantu pemulihan negara dengan pantas.
“Kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk melaksana pelan pemulihan dengan Parlimen boleh di buka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.
“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.
“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan saja tindakan antidemokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” katanya.
Dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong bersama-sama Raja-raja Pemerintah turut menzahirkan pandangannya bahawa tidak wujud keperluan untuk Pengisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos depan.
Yang di-Pertuan Agong mengusulkan supaya Parlimen segera bersidang sementara Raja-Raja Pemerintah di peringkat negeri juga sudah berkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibenarkan bersidang. – BH Online