PUTRAJAYA – Pengabaian terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca kepada pelanggaran dua tren LRT dalam terowong pada 24 Mei lalu yang menyebabkan berpuluh orang cedera.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jawatankuasa siasatan mendapati pelanggaran berlaku antara tren 40 yang mengalami masalah teknikal apabila kedua-dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) gagal berfungsi dengan tren 81 yang dipenuhi penumpang dan dilepaskan untuk meneruskan perjalanan dari stesen KLCC sebelum mendapat pengesahan tepat situasi tren yang mengalami masalah itu.
Beliau berkata, Kabinet dimaklumkan oleh jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Isham Ishak, pada jam 6.26 petang hari kejadian satu daripada dua VOBC dalam tren 40 yang mula digunakan pada 2010 itu, gagal berkomunikasi dengan Pusat Arahan Operasi (OCC) menyebabkan tren itu perlu dikosongkan di stesen seterusnya sebelum perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan serta dibawa ke depoh Lembah Subang untuk penyelenggaraan.
Katanya, ia dilakukan dengan kawalan automatik (ATO) VOBC kedua dalam tren itu yang masih berfungsi.
Bagaimanapun, pada jam 8.13 malam, VOBC kedua tren 40 juga gagal berfungsi ketika ia dalam perjalanan ke depoh Lembah Subang, menyebabkan OCC tidak dapat mengawal tren yang terkandas antara stesen KLCC dan Kampung Baru.
“Berikutan itu, hostler atau pemandu diarahkan mengendalikan Tren 40 secara manual ke stesen Dang Wangi untuk membuat ‘reset’ terhadapnya untuk kembali ke mod ATO.
“Siasatan mendapati ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, kedua-dua Hostler dan pengawal (controller) OCC mengabaikan SOP kritikal tertentu.
“Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh,” katanya dalam sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan bagi Insiden Pelanggaran Tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu. – BH Online