KUALA LUMPUR – Penularan jangkitan harian COVID-19 di Malaysia dijangka mencecah lebih 13,000 kes hari ini, sekiranya sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ tidak dilaksanakan, kata Tan Sri Muhyidin Yassin.
Perdana Menteri berkata, situasi terburuk susulan penularan wabak sedemikian turut bakal menyaksikan keruntuhan sistem kesihatan negara.
“Keputusan melaksanakan sekatan pergerakan penuh ini berjaya mengelak berlakunya peningkatan kes baharu secara lebih mendadak.
“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini, kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 mula menunjukkan pola melandai, dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei lalu, iaitu kes harian tertinggi di Malaysia.
“Sistem kesihatan negara kita juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi.
“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan membuahkan hasil. Kita berjaya tangani sebuah malapetaka,” katanya ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara, hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, sekatan pergerakan penuh untuk fasa pertama yang ketika ini dilanjutkan sehingga 28 Jun depan dilaksanakan selepas mengambil kira penularan kes COVID-19 dalam komuniti.
Selain itu, katanya, kerajaan mengambil kira kebimbangan terhadap kewujudan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, sehingga berupaya mengancam keupayaan sistem kesihatan awam negara.
“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga masih dalam peringkat awal pelaksanaannya di samping bekalan vaksin yang dijangka lebih stabil mulai bulan ini,” katanya. – BH Online