PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge, mulai 1 hingga 17 Julai ini, sebagai antara usaha menyebarluaskan mesej antirasuah dalam kalangan belia.
Bertemakan ‘Youth Against Corruption’ (Belia Menentang Rasuah), kejohanan secara dalam talian yang akan disertai 2,048 atlet e-sukan itu adalah kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini bagi mendekati kumpulan belia yang meminati e-sukan.
Menurut kenyataan SPRM hari ini, idea pertandingan itu dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki sebagai pendekatan serampang dua mata kerana mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini akan turut diselitkan sepanjang perlawanan.
“Penganjuran SPRM FIFA 21 Challenge yang julung kali diadakan itu juga membuktikan SPRM memanfaatkan penggunaan teknologi ketika penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada program serta aktiviti pendidikan antirasuah yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka.
“Pada masa sama, platform secara maya ini turut membolehkan SPRM mendekati kumpulan sasar bagi menyampaikan mesej antirasuah meskipun negara sedang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19,” kata SPRM.
Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000 dan tempat ketiga, RM2,000.
SPRM FIFA 21 Challenge akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community. – BERNAMA