SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memandang serius dakwaan gangguan seksual oleh seorang tenaga pengajar ke atas beberapa pelajar yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Jabatan Komunikasi Korporat UiTM berkata, jawatankuasa siasatan dalaman sudah diarah meneliti segala dakwaan berkaitan.
“UiTM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang mengambil kesempatan atau menyalah guna kuasa mereka.
“UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi.
“Orang ramai terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal pelajar adalah keutamaan universiti.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbabit mengikut peraturan dan ketetapan universiti yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
UiTM turut menyatakan komitmen menangani segala dakwaan dibangkitkan.
Kenyataan itu menyebut, UiTM sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan proses siasatan. – BH Online