CAPE TOWN – Seorang wanita di Afrika Selatan mendakwa melahirkan 10 bayi kembar serentak.
Ibu berusia 37 tahun itu berkata, dia menjalani proses kelahiran di sebuah hospital di Bandar Pretoria bulan ini.
Gosiame Thamara Sithole berkata, dia melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga bayi perempuan menerusi pembedahan dan ketika kandungannya berusia 29 minggu.
Jika benar, kelahiran itu akan memadam rekod yang pernah dicatat Halima Cisse dari Mali yang melahirkan sembilan bayi di sebuah hospital di Maghribi pada Mei lalu.
Namun, laporan itu masih belum disahkan doktor atau Guinness World Records.
Doktor memaklumkan wanita itu dijangka melahirkan enam bayi, namun jumlah itu meningkat kepada lapan selepas menjalani satu imbasan.
Ibu yang berasal dari Thembisa di Ekurhuleni itu bekerja sebagai pengurus stor sudah memiliki anak kembar dua yang kini berusia enam tahun.
Pada awal tahun ini, wanita itu memaklumkan dia mengandung, namun berdepan kesukaran dan sakit pada kaki dan pedih ulu hati.
Dia juga bimbang kandungannya tidak dapat diselamatkan kerana berisiko tinggi untuk mengandung.
Bagaimanapun, bayi yang dilahirkan diletakkan beberapa bulan dalam inkubator sebelum dia dan suami Teboho Tsotetsi, membawa anak mereka pulang.
Tehebo menganggap dirinya gembira dan beremosi dengan kelahiran ini.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kes Cisse, doktor pada awalnya menjangka wanita itu hamil tujuh anak.
Tetapi doktor terkejut apabila mendapati ada dua lagi bayi ketika wanita itu melahirkan anak menerusi pembedahan.
Cisse melahirkan bayi lima perempuan dan empat lelaki itu mengikut jangkaan dan berkeadaan baik.
Terdahulu, Cisse yang sudah mempunyai anak bersama suaminya Kader Arby terpaksa terbang ke Maghribi pada Mac untuk mendapatkan rawatan pakar selepas kerajaan Mali tidak mempunyai kepakaran berhubung kes kehamilan seperti itu. – Agensi