KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,393,882 individu atau 7.3 peratus daripada populasi sudah menerima suntikan dos kedua vaksin, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka setakat semalam.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyasarkan 10 peratus daripada populasi negara akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan bulan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin setakat semalam adalah sebanyak 8,346,697 dos merangkumi 5,952,815 pemberian dos pertama, manakala 2,393,882 lagi adalah dos kedua.
“Bagi vaksinasi harian, sebanyak 263,012 dos diberikan semalam membabitkan pemberian 178,148 dos pertama dan 84,864 dos kedua,” katanya dalam hantaran Twitter beliau, hari ini.
Dr Adham berkata, lima negeri mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi iaitu Selangor dengan 318,774 orang, diikuti Johor (256,096), Sarawak (252,496), Perak (214,267) dan Kuala Lumpur (209,165).Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada sidang media di Butterworth, Pulau Pinang, berkata sebanyak 16 juta rakyat sudah berdaftar untuk menerima vaksin dan 34 peratus daripadanya mendapat suntikan dos pertama.
Beliau berkata, Julai adalah bulan penting bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana selain mahu mencapai sasaran 10 peratus rakyat melengkapkan penerimaan suntikan vaksin, Malaysia juga dijangka menerima vaksin yang banyak pada bulan ini.
“Jangkaan vaksin akan diterima pada bulan ini adalah 12 hingga 14 juta vaksin…tiap minggu kita akan terima vaksin.
“CITF akan membuat penilaian dan pengagihan vaksin mengikut kapasiti di setiap negeri,” katanya. – BERNAMA