KUALA LUMPUR – Sejak tiga kes pertama COVID-19 di negara ini dilaporkan pada Januari tahun lepas, persoalan seperti “sampai bila” dan “apakah masih ada sinar untuk kita bebas daripada pandemik ini”, membelenggu setiap daripada kita.
Saban hari disajikan berita jangkitan baharu yang kebelakangan ini konsisten lima angka sejak 13 Julai lepas, manakala kes kematian harian pula tiga angka dengan yang tertinggi setakat ini 199 kes (21 Julai).
Pandemik COVID-19 sememangnya “melelahkan” masyarakat, apatah lagi petugas kesihatan yang berkorban kudrat dan masa dengan komitmen melebihi 100 peratus sejak awal tahun lepas.
Menjengah media sosial, pasti ada sahaja “suara-suara keletihan” golongan ini akibat lesu upaya (burnout) yang kebelakangan ini semakin kuat kedengaran.
Sementelah waktu senggang yang diharapkan ibarat menunggu buah yang tidak gugur apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes harian terus meningkat dalam tempoh terdekat ini, berikutan peningkatan kes jangkitan varian Delta yang lebih agresif penyebarannya dalam komuniti.
Justeru, sokongan psikososial untuk petugas barisan hadapan negara ini dalam mengekalkan momentum amat diperlukan agar mereka dapat terus memberikan rawatan terbaik kepada pesakit COVID-19.
Malangnya, ada segelintir masyarakat tidak peka dengan situasi semasa apabila mengharapkan kes harian meningkat hingga 20,000 sehari seperti yang dilakukan oleh sekumpulan netizen menerusi tanda pagar #Roadto20k yang sohor kini (trending) melalui Twitter.
Kempen sedemikian pernah trending sebelum ini dengan tanda pagar #Roadto10k. Mujur, tidak semua menyahut kempen itu dan pada masa sama, serangan balas turut dilancarkan oleh kelompok lain yang mahu tanda pagar itu dihentikan segera.
Bagi Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, kempen tanda pagar itu hanya meruntunkan lagi hati petugas kesihatan yang pengorbanannya sudah tidak terkira.
“Ketika ini, tidak kiralah hospital kerajaan atau swasta, kakitangan di lapangan seperti di CAC (Pusat Penilaian COVID-19), semuanya berada dalam keadaan tertekan.
“Ramai petugas sedang bergelut dengan masalah kekurangan kakitangan, terpaksa menggantikan kakitangan yang kena kuarantin, beban pesakit tinggi, kekurangan kelengkapan perubatan dan sebagainya.
“Bagaimanapun, penambahan fasiliti perubatan dan petugas kesihatan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini sangat membantu. Kami juga mengharapkan sokongan moral masyarakat untuk terus bersatu, berjuang bersama kami dalam waktu kritikal ini,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan kajian Prevalen dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Lesu Upaya dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik COVID-19 yang dijalankan ke atas 893 petugas kesihatan, didapati prevalen lesu upaya berkaitan peribadi ialah sebanyak 53.8 peratus dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan peringkat daerah.
Prevalen lesu upaya berkaitan pekerjaan sebanyak 39.1 peratus yang menyaksikan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan petugas makmal mencatatkan peratusan kedua tertinggi serta 17.4 peratus membabitkan tekanan melampau, berkaitan pesakit dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta.
Justeru, Dr Sharifa berpandangan sekarang bukan masanya menuding jari mencari salah siapa kerana tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya paling penting ialah setiap ahli masyarakat, selaku “anggota tentera”, perlu berperanan memusnahkan musuh halimunan itu.
“Inilah masanya kita berganding bahu, sebarkan yang positif kerana itu juga sedikit-sebanyak memberi sokongan moral kepada kami. Lagi banyak kita bergaduh di media sosial, lagi banyak akan membuatkan orang murung dan gelisah,” katanya.
Mengapa dan apakah sebabnya begitu mudah netizen menggerakkan kempen sedemikian, seolah-olah tidak sensitif dengan pengorbanan petugas barisan hadapan?
Sekiranya marah dengan apa yang berlaku, tidak adakah cara lain untuk meluahkannya?
Pakar psikiatri dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria, berkata yang berlaku sekarang adalah antara tanda ‘kelesuan pandemik’.
Namun katanya, masyarakat perlu rasional dalam menangani senario itu.
“Masyarakat sebenarnya sedang beremosi, ada yang marah, letih, geram dan sedih. Jadi, apabila beremosi mestilah hendak meluahkan melalui sesuatu dan mereka menggunakan media sosial sebagai platform meluahkan emosi.
“Bagaimanapun, masyarakat perlu rasional dan realistik dengan apa berlaku. Tidak salah marah, memang rakyat tengah marah tetapi dengan trending #Roadto20k, tidak menyelesaikan masalah tetapi akan menggores hati pihak lain, khususnya petugas perubatan, mereka yang dijangkiti COVID-19 serta golongan susah di luar sana,” katanya.
Menurut ahli jawatankuasa tetap teknikal program pencegahan bunuh diri KKM itu, dalam peperangan melawan pandemik itu, masyarakat tidak boleh mengharapkan solusi daripada satu pihak sahaja.
“Kita perlu optimistik dan ini termasuklah terbabit proses vaksinasi, berdisiplin dalam pematuhan SOP (prosedur operasi standard), tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik selain memberikan penghargaan seperti ucapan dan doa yang baik juga sebenarnya sangat membantu menguatkan psikologi petugas perubatan,” katanya. – BERNAMA