KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.
Ketika memberi penerangan mengenai PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang kini sedang berjalan lancar.
Untuk itu, Perdana Menteri berkata, selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.
“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama.
“Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.
“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya. – BERNAMA