KUALA LUMPUR – Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM15 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff memaklumkan mahkamah, pihak pendakwaan bersetuju menarik balik semua pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam selepas bersetuju kesnya dikompaun.
Terdahulu, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam ketika ditemui media, berkata anak guamnya sudah membayar kompaun berjumlah RM590,587.26, semalam.
“Oleh kerana kompaun sudah dijelaskan, maka pertuduhan baharu tidak boleh dibawa terhadap Mohd Hafarizam.
“Sehubungan itu, pihak pembelaan meminta supaya mahkamah membuat satu perintah bahawa Mohd Hafarizam dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.
Mohd Hafarizam ketika ditemui media selepas prosiding, berkata beliau bersyukur kerana boleh meneruskan kehidupan sebagai seorang individu yang bebas.
“Pertuduhan ini amat memberi kesan yang besar kepada kehidupan saya dan keluarga,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang juga hasil aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik bekas Perdana Menteri itu.
Cek bertarikh 16 April 2014 itu dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya, iaitu Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Mohd Hafarizam yang mewakili Najib dalam beberapa kes saman sivilnya, didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini, pada 17 April 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang RM4 juta dan RM3.5 juta yang menjadi hasil daripada aktiviti haram melalui dua cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di antara 12 November 2014 dan 12 Februari 2015 di tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – BH Online