KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
Takiyuddin berkata demikian dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Pada Rabu lalu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama memaklumkan, persidangan khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, perkara itu sudah dicadangkan kepada Muhyiddin susulan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Selasa lalu.
“Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.
“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan menjunjung titah baginda dan menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen Malaysia mengadakan persidangan seperti dititahkan,” menurut kenyataan itu. – BH Online