JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menerima sebanyak 20,000 dos vaksin jenis Sinovac untuk kegunaan imunisasi Covid-19 bagi rakyat di negeri ini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pihaknya sedang berusaha mendapatkan lebih banyak vaksin Covid-19 sama ada jenis Sinovac atau Pfizer BioNTech tidak lama lagi.
Titah Tunku Ismail, usaha yang dilakukan keluarga diraja Johor itu bagi membantu rakyat mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin.
“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan lebih vaksin Sinovac atau Pfizer BioNtech dalam masa terdekat ini.
“Kami juga berharap kerajaan dan menteri boleh membantu kami dan mengagihkan lebih banyak vaksin kepada rakyat. Ini masanya untuk bertindak,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Sementara itu, seorang warganet, Sheila Teyla meninggalkan komen bahawa dia berasa amat bersyukur dan berharap ada rezeki mendapat suntikan vaksin kerana belum memperolehinya.
“Daulat Tuanku, terima kasih kerana mengambil berat. Harap dapat menjalani rutin dan kehidupan harian macam biasa,” kata Muliana Rahim.
“Lama sudah mendaftar aplikasi MySejahtera Tunku, harap-harap dapatlah vaksin kali ni,” komen Ahmad Fadzli.
Sementara itu, Darren Jun menulis, “Alhamdulillah semoga Tuanku Sultan Ibrahim dan keluarga terus berbakti kepada negerinya, Amin.” – UTUSAN ONLINE