“SAYA dengar suara anak muda”. Itu kata-kata yang terkandung dalam ucapan sulung Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS) sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos lalu.
Saksikan betapa golongan muda mendapat perhatian teratas dalam ruang lingkup penzahiran keazaman Perdana Menteri Ke-9 pada ucapan pertama beliau.
DSIS memberi jaminan akan memastikan suara anak muda didengari dan diberi tumpuan oleh kerajaan baharu yakni Kerajaan Keluarga Malaysia.
Pak Long Mail mengakui suara anak muda diperlukan dalam usaha mencapai objektif mendepani Covid-19 dan membangunkan semula negara.
“Kepada anak muda di luar sana, jangan risau pembabitan anda dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara.”
Benar sekali apa diperkatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai generasi muda yang merupakan aset terpenting negara.
Belia merupakan benteng harapan negara pada setiap masa dalam apa jua. Ketika pandemik Covid-19 mereka jua barisan hadapan menjaga rakyat.
Majoriti para sukarelawan yang membantu juga terdiri daripada golongan muda. Merekalah yang bakal mewarisi pimpinan negara ini.
Bagaimanapun kemampuan tenaga golongan muda perlu seiring dengan keupayaan berfikir apa yang terbaik untuk negara secara rasional dan bijaksana.
Dalam dunia teknologi maklumat tanpa batas sempadan pelbagai cerita nyata atau palsu disalurkan kepada anggota masyarakat saban hari.
Tujuannya cuma satu iaitu untuk mempengaruhi pemikiran mereka supaya cenderung kepada agenda tertentu.
Cabaran besar ini mendesak golongan muda perlu cermat memproses dan menapis bagi mengenal pasti maklumat yang sahih atau palsu.
Memahami realiti politik semasa pasti ada usaha melemahkan kepercayaan golongan muda negara kepada kepimpinan Perdana Menteri Ke-9.
Maka adakah golongan muda harus terperangkap dengan percaturan itu sedangkan bakti mereka amat diperlukan untuk membantu kerajaan dan pertiwi ketika ini.
Sebagai anak muda yang cintakan negara mari kita ketepikan anasir-anasir yang langsung tidak membantu negara mendepani cabaran global. Ini kali kita bersama kerajaan.
Yakinlah setiap apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Ke-9 merupakan pengiktirafan dan dasar yang akan dipratikkan kerajaan baharu.
Beliau secara jujur dan terbuka menzahirkan kepercayaan kepada golongan muda negara maka sewajarnya kita menyahut dan menterjemahkan kercayaan itu demi negara yang kita cintai. – Mynewshub.TV