PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta.
Ketua Wanita UMNO itu meletakkan jawatan itu dibuat berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu.
“Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
“Namun, berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MKT UMNO pada 3 Ogos lalu sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Noraini berkata, beliau percaya semua pihak sudah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia.
Beliau berkata, usaha itu akan diteruskannya walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan.
Pada masa sama, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantunya melaksanakan tugas.
“Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” katanya. – BH Online