CYBERJAYA – Tarikh terkini bagi membentangkan undi percaya di Parlimen adalah pada 7 September dan bukannya 18 Ogos seperti didakwa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifudin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, Setiausaha Dewan Rakyat sudah pun menyerahkan notis pemberitahuan kepada semua ahli Parlimen mengenai perkara berkenaan.
“Buat masa ini, itulah (7 September) tarikh rasmi yang diterima mengikut kepada jadual.
“Usul undi percaya itu akan dibawa sama ada oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau menteri lain yang akan diarahkan oleh Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi turun padang secara maya bersama Agensi CyberSecurity Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan ada usaha untuk mempercepat usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan pada 18 Ogos ini.
Saifudin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, semua parti dalam PN terus istiqamah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Malam tadi pun, saya tidak terlibat dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri. Itu perjumpaan dalam kalangan ketua-ketua parti dalam PN sebab saya bukan dalam kalangan pimpinan utama,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri sebaik sahaja menjawat jawatan nombor satu dalam Kerajaan Persekutuan telah menyatakan bahawa beliau akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secepat mungkin.
“Namun, fokus utama ketika ini adalah perlu diseimbangkan dari segi memerangi pandemik Covid-19 dan juga memulihkan semula ekonomi agar dapat berjalan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE