KUALA LUMPUR – Kejutan berlaku pada sidang Dewan Rakyat petang ini apabila Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, kembali menjalankan tugas.
Kehadiran Azalina di tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyapa Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ketika itu membahaskan usul junjung kasih kepada Titah Diraja menarik perhatian Ahli Parlimen.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) juga bangun bertanya apakah peraturan dipatuhi memandangkan Azalina sudah meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) juga bangun dan berkata:
“Tolong jelaskan ini, kami tidak faham.”
Bagaimanapun, Azalina menjelaskan beliau diminta oleh Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mempengerusikan sidang buat sementara mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3). – BH Online