Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Sultan Nazrin Terima Menghadap...

IPOH : Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana...

Payung Gergasi Bakal Dipasang...

MAKKAH - Jemaah yang mahu melakukan tawaf di Masjidilharam atau pun yang menunaikan...

Tambak Laut Tak Jejas...

GEORGETOWN : Kerajaan Pulau Pinang mengadakan perbincangan berterusan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia...

Apa Itu Membeli-Belah Secara...

Dalam era peningkatan harga barangan harian, pengguna perlu mengawal tabiat penggunaan dengan secara...

Covid-19 Beri Impak Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR – Masyarakat di Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak kesihatan mental akibat situasi pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata faktor sosial yang menyebabkan stres terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, hari ini.

Tema tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Dr Noor Hisham berkata hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, Dr Noor Hisham berkata masyarakat memainkan peranan bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamanya dalam situasi Covid-19.

Ia termasuk mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat pandemik, memberikan sokongan dan dorongan untuk mendapatkan bantuan dan rawatan, serta mengelakkan penularan berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri menerusi media sosial.


Masyarakat juga perlu membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku, di samping mengekalkan hubungan dan memberi sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku, katanya.

Antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu tingkah laku bunuh diri adalah pengukuhan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial, sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri dan advokasi kempen ‘Let’s TALK Minda Sihat’.

Inisiatif lain termasuk latihan berterusan kepada first-line responders seperti anggota kesihatan, polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri dan mempergiat sesi libat urus dengan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM akan terus komited menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri.

Katanya, usaha itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri. – BERNAMA

Kategori