KUALA LUMPUR – Pintu sentiasa terbuka untuk usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat pulang ke negara ini dan berbincang dengan pihak berkuasa agama untuk mencari jalan penyelesaian.
Itu pesanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang meminta Nur Sajat pulang ke negara ini dan duduk berbincang dengan mencari penyelesaian supaya dia dapat kembali ke fitrah yang asal.
“Kita anggap dia saudara seagama dengan kita, jadi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) sentiasa membuka pintu untuk dia berbincang.
“Hal ini supaya kita dapat bersama-sama membantunya kembali ke fitrah asal kerana dia bukanlah musuh kita,”katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Haji anjuran Instititut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), di Bilik Mesyuaratan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak yang beranggapan pihak berkuasa agama terlalu keras kepada golongan transgader termasuk Nur Sajat, Idris berkata, perkara itu tidak betul kerana apa sekali kes jenayah atau sivil ia mempunyai undang-undang.
“Tidak timbul soal bertindak keras atau tidak kerana jika kita disaman polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di mana sepatutnya perlu hadir ke mahkamah tetapi kita tidak hadir sudah pasti polis akan memburu dan menunggu di rumah kita.
“Adakah tindakan itu dikatakan keras sudah tentu tidak sebaliknya ia adalah proses biasa mengikut undang-undang,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand, 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia. – myMetro Online