PUTRAJAYA – Pesakit sedang dirawat dan diasingkan terus mencatatkan penurunan dengan 177,560 kes dilaporkan semalam, menurut laman web CovidNow.
Data yang dikemas kini pukul 11.59 malam tadi itu menunjukkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 147,848 kes dikuarantin di rumah.
“Selain itu, 19,180 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 9,554 kes di hospital, 402 kes di Unit Rawatan Rapi tanpa bantuan pernafasan dan 576 kes di ICU dengan bantuan pernafasan,” menurut maklumat tersebut di sini hari ini.
Berhubung kes kematian Covid-19, sebanyak 258 kes dilaporkan semalam dengan 87 kes kematian sebenar bagi tempoh tujuh hari, menjadikan jumlah kematian sebanyak 25,695 kes.
Terdapat 75 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) dengan jumlah kes BID di seluruh negara sebanyak 5,097 kes.
Kes kematian tersebut dilaporkan di Selangor (56), Johor (53), Kedah (46), Kuala Lumpur (25), Pulau Pinang (21), Sarawak (19), Sabah (12), Pahang (5), Perak (5), Melaka (4), Kelantan (4), Terengganu (4), Perlis (2) dan Negeri Sembilan (1) manakala, tiada kematian di Labuan dan Putrajaya. – K! ONLINE