PUTRAJAYA – Usia Kompleks Seri Perdana yang sudah mencecah mencecah 22 tahun menyebabkannya mengalami banyak kerosakan dan memerlukan pembaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kompleks itu yang dibina pada 1997 dan siap sepenuhnya pada 1999, adalah kediaman rasmi untuk Perdana Menteri.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.
“Projek ini diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja pembaikan bermula 29 Mac lalu dan dijangka siap 7 Disember ini. Setakat hari ini, kemajuan kerja baik pulih sudah mencapai 74 peratus berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Latiff berkata, kenyataannya merujuk kepada pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.
“Pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pokok Sena semalam di Dewan Rakyat, dijawab secara bertulis oleh saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri,” katanya.
BH sebelum ini melaporkan pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara. – BH Online