KUALA LUMPUR – Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan itu memberi kelonggaran kepada penduduk lengkap menerima vaksin, termasuk kebenaran merentas daerah.
“Pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri dan ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.
“Dine-in (makan di dalam) juga dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos, manakala aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama.
“Hanya melibatkan penginapan di hotel dan homestay (inap desa) bagi individu yang telah lengkap dua dos,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, semalam yang turut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.
“Maka pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya (SJR),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi bagi negeri di bawah Fasa 1 PPN.
Katanya, antara kelonggaran SOP itu adalah membenarkan aktiviti sukan indoor (permainan dalam) kecuali gimnasium kepada individu yang lengkap dua dos vaksin.
“Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin.
“Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP,” katanya yang memberitahu keputusan itu berdasarkan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berkuat kuasa Jumaat ini.
Katanya, sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga atau nursery, kedai peralatan outdoor (pemainan luar) dan galeri perumahan juga dibolehkan beroperasi mulai Jumaat, bagi negeri yang berada di bawah Fasa 1.
Sementara, negeri diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3 akan menerima kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser (jurugaya rambut), dan salun kecantikan. – myMetro Online