KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur mensasarkan 30,000 pengunjung sempena pembukaan semula mercu tanda ikonik ibu kota 1 Oktober ini.
Pembukaan semula menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia itu juga bersempena sambutan 25 tahun pembinaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar berkata, pembukaan semula sektor pelancongan akan merancakkan semula Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan warga Lembah Klang.
Menurutnya, pelbagai aktiviti akan diadakan bermula Jumaat ini termasuk virtual dan kehadiran fizikal.
“Sambutan ulang tahun ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada pengunjung yang sentiasa menyokong Menara Kuala Lumpur sejak 1996.
“Pelbagai aktiviti yang diadakan juga tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.
Katanya, Menara Kuala Lumpur beroperasi setiap hari bermula 11 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Beliau berkata, berdasarkan kapasiti ditetapkan seramai 700 hingga 1,000 pengunjung boleh mengunjungi Menara Kuala Lumpur setiap hari.
“Di dek pemandangan seramai 80 pengunjung setiap jam manakala Skydeck pula terhad untuk 120 pengunjung setiap jam.
“Ini bagi mematuhi SOP dan penjarakan fizikal yang ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi mengelak penularan wabak Covid-19,” katanya. – myMetro Online
IKUTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI