KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memohon untuk memeriksa lima pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengikrarkan afidavit mereka berhubung notis kebankrapan terhadap bekas perdana menteri itu kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu difailkan pada 22 September lalu, menurut Kaedah 47 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.
Najib, 68, memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan pemeriksaan ke atas lima pegawai lelaki berkenaan, atas alasan pihak LHDN gagal memberi butiran bagaimana pengiraan jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan terhadapnya.
Wee berkata ketika pengurusan kes secara dalam talian (Zoom) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ida Rahayu Sharif hari ini, pihak LHDN memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan pemeriksaan berkenaan.
“Mahkamah kemudian mengarahkan LHDN memfailkan permohonan itu pada 13 Oktober ini dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 9 November,” kata Wee.
Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN yang turut serta dalam prosiding itu, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Kerajaan, melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu terhadap Najib, selaku penghutang.
Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas menolak rayuan Najib.
Najib pada 13 September lalu, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. – BERNAMA