KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meminta 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka kepada suruhanjaya berkenaan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mereka boleh berbuat demikian mulai 1 hingga 31 Oktober ini melalui semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA).
SPR akan mempamerkan maklumat bagi sejumlah 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod mereka dengan suruhanjaya ini.
“Urusan SPPA boleh dibuat melalui dua kaedah berikut iaitu membuat semakan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my.
“Atau mereka boleh hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, dalam tempoh SPPA ini, mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat mereka dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
Katanya, sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, mereka dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2021.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, pilihan raya di negara ini akan mula menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari tahun depan.
Untuk itu, SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan awal tahun depan.
SPR ketika ini sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14.
Pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengulangi komitmen kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan golongan berusia 18 tahun ke atas dapat mengundi dalam pilihan raya, dalam tempoh terdekat.
Undi 18 turut menjadi antara fokus dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PN) pada 13 September lalu.
Undi 18 merangkumi tiga perkara yang diluluskan di Parlimen iaitu menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun melalui pindaan perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan pula untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Selain itu, ia juga membabitkan pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun. – BH Online