Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Jawatankuasa Bertindak Kuil Gagal...

PROSIDING inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang berjalan akan...

Nabi Muhammad Bukan Melarikan...

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk...

Piala FA: Azraai Khor...

KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah mahu anak buahnya bangkit...

Farid Kamil Farid Gagal...

PETALING JAYA - Jabatan Peguam Negara menolak representasi pelakon dan pengarah Datuk Farid...

Perlu Lebih Empati Dalam Menangani Kes Bunuh Diri

KUALA LUMPUR – “Saya akan berdebar, sedih, menangis setiap masa, tiada selera makan, selalu dalam fasa penafian (denial), salahkan diri sendiri. Saya tidak fikir apa kesan (jika saya bunuh diri) kepada ibu bapa, apatah lagi diri sendiri.”

Itu luahan Azura (bukan nama sebenar), yang pernah cuba untuk mengakhiri hidup akibat tekanan perasaan melampau yang dialaminya kira-kira tiga tahun lalu.

Namun beliau antara yang bernasib baik kerana dapat diselamatkan dan kini dalam proses pemulihan.

Mengenang kembali situasi ketika berhadapan dengan konflik dan kecelaruan emosi, Azura berkata tidak semua orang termasuk mereka yang terdekat mudah menerima dan memahami keadaan dirinya ketika itu.

“Teman sebilik saya sendiri sampai satu tahap dia cakap “dahlah, aku malas nak ambil tahu tentang kau dah. Masalah kau ini buat aku tak fokus belajar”. Ada juga yang bercakap kepada ibu saya “bawalah anak puan ke hospital, dia gila kot”. Sebab saya selalu bercakap seorang diri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azura berkata pelbagai usaha dilakukan untuk pulih dan ia satu perjalanan yang panjang. Sepanjang proses itu beliau selalu berharap masyarakat dapat memahami selain mendoakan kesembuhan mereka yang pernah cuba bunuh diri.

EMPATI

Umum mengetahui masyarakat perlu dididik untuk mempunyai empati, peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang berlaku sama ada pada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sejawat.

Sokongan emosi dan pelbagai aspek bantuan lain juga perlu disediakan, namun hakikatnya masyarakat secara amnya masih perlu sentiasa diingatkan kerana bukan mudah mengikis stigma.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat lebih 703,000 kes kematian bunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

Bunuh diri juga antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

Pada tahun 2019, satu dalam 100 kematian (1.3%) adalah disebabkan bunuh diri.

Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan bahawa seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonom.

Tekanan akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu menjadikan situasi bertambah runcing.

Sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

Jumlah kes pada 2019 ialah 609 dan ia meningkat kepada 631 kes pada 2020.

Secara purata, sebanyak dua kes dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2021 dan antara punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah tekanan perasaan, faktor kewangan serta masalah keluarga.

KENALI SIMPTOM AWAL

Pengarah dan Psikologis Klinikal WeCare Allied Health, Shazeema Mashood Shah berkata bunuh diri adalah perbuatan mengambil nyawa sendiri akibat daripada masalah mental atau sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka ingin menamatkan hidup.


“Mungkin ada yang tertekan kerana masalah kesihatan mental, kadang-kadang ada yang mengalami masalah serius dan tidak dapat keluar daripada masalah itu. Mereka nampak ada hanya satu jalan iaitu bunuh diri,”katanya.

Dalam usaha mengekang bunuh diri, Shazeema berkata ada beberapa simptom awal yang boleh dikenalpasti terutama jika keadaan itu berlaku dalam kalangan orang terdekat.

“Kita boleh tengok salah satu rutin mereka terganggu. Contohnya tidak dapat tidur, tidur terlalu banyak atau mungkin kita dapat tengok mereka tidak makan, tidak minum dan perangai mereka berubah seperti daripada seorang yang banyak bercakap tiba-tiba menjadi pendiam dan tidak berkomunikasi.

“Kita boleh perasaan mood mereka down, sedih – ada yang tidak betul dengan perwatakan mereka. Mungkin mereka ada sejarah kesihatan mental dan ada peristiwa berlaku menyebabkan mereka berpotensi membunuh diri,” jelasnya.

Menurut Shazeema dengan berkomunikasi, berbincang dan berusaha mendengar keluhan atau cerita dapat membantu mereka mendapatkan bantuan yang diperlukan.

“Kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana nak respon atau mungkin masa mereka sedang bercerita, kita potong cerita mereka. Perkara seperti itu akan menghalang mereka meluahkan isi hati dan perkara ini sangat tidak baik untuk mangsa. Lebih baik kita dengar apa yang mereka luahkan,” katanya.

Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada.

INISIATIF DAN BANTUAN

Shazeema berkata banyak inisiatif yang pihak berwajib boleh lakukan untuk mengekang kejadian bunuh diri. Selain menyediakan talian hotline untuk individu terkesan, antara bantuan lain ialah dalam bentuk kewangan dan perlindungan.

Usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat memperkenalkan Dasar Kaunseling Negara bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat juga amat penting kerana kesihatan mental mempengaruhi tindakan membunuh diri.

Dalam masa sama Shazeema juga menasihatkan mereka yang ada kecenderungan membunuh diri untuk berjumpa dengan doktor dan menerima rawatan sewajarnya.

“Semua orang ada masalah. Mereka perlukan bantuan. Adalah normal (untuk mendapatkan bantuan) kalau di luar negara seperti Amerika Syarikat, jadi kita kena buka minda untuk menerima,” katanya yang mengakui kesedaran awam dalam tempoh beberapa tahun ini semakin baik disebabkan pendedahan di media sosial.

Bagi Azura pula, mendekatkan diri dengan perkara posiitif dan ilmiah serta selalu memikirkan ibu bapa dan berkongsi masalah dengan keluarga banyak membantu.

“Segera ambik keputusan untuk move on. Pergi jumpa doktor, doktor tak akan hakimi kita. Bila dapat terapi tu insyaAllah kita akan sembuh, tapi kita kena tolong diri sendiri.

“Jangan letak pengharapan yang tinggi kepada manusia, perbaiki hubungan dengan Allah. Kepada masyarakat, jangan hindarkan diri, cukup jadi pendengar. Janganlah kritik dan doakan mereka mendapat hidayah serta boleh melalui semua benda itu dengan baik,” tambahnya.

Bunuh diri boleh dicegah. Yang penting kita sebagai masyarakat harus prihatin, mendengar, mengambil berat dan memberikan sokongan sosial kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

Kategori