KOTA KINABALU – Vaksinasi untuk golongan remaja bakal dimulakan apabila 80 peratus populasi orang dewasa di negara ini menerima dua dos vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu akan dilaksanakan dengan syarat jumlah bekalan vaksin mencukupi.
“Sarawak mula memberi vaksin kepada golongan remaja pada minggu ini kerana mereka mencapai 80 peratus populasi orang dewasa divaksin.
“Apa yang kita sarankan adalah apabila kita mempunyai bekalan mencukupi dan negara mencapai 80 peratus populasi orang dewasa yang divaksin, kami akan mengesyorkan vaksinasi untuk remaja.
“Fokus kita adalah kepada yang berisiko tinggi. Kita juga mengemas kini garis panduan klinikal dan mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun akan diutamakan terlebih dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya.
Ketika ditanya mengenai peningkatan kes kematian akibat COVID-19 di tempat dengan kadar vaksinasi yang tinggi seperti Lembah Klang dan Sarawak, Khairy berkata, jumlah itu tidak menggambarkan jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam tempoh 24 jam.
“Kami akan dedahkan pada Rabu ini data baharu (kematian). Kematian itu tidak terjadi dalam tempoh 24 jam. Terdapat banyak tunggakan angka kematian kerana kita perlu mengesahkan mereka yang mati benar-benar berpunca daripada COVID-19,” katanya.
Mengulas mengenai kes kematian dibawa hospital atau ‘brought in dead’ (BID), Khairy menjelaskan majoriti daripadanya didapati tidak menjalani ujian saringan dan disebabkan itu, mereka tidak berada di bawah pemantauan fasiliti kesihatan.
“Kalau kita melihat masalah BID ini, sebahagian besar yang berlaku di negara kita adalah dalam kalangan mereka yang tidak berada di bawah jagaan Kementerian Kesihatan.
“Maka, kita mahu pastikan mereka yang tidak berada di bawah jagaan fasiliti kesihatan, pejabat kesihatan daerah atau klinik swasta, mesti mendapat rujukan ataupun diletakkan di bawah jagaan kita.
“Jika mereka menjalani kuarantin di rumah, sekurang-kurangnya pemantauan dibuat dan memuat naik laporan kendiri status kesihatan mereka. Jika mereka didapati menunjukkan gejala, kita boleh melakukan intervensi,”katanya.
Khairy berkata, bagi mereka yang tidak berada dalam pemantauan termasuk bukan warganegara, pemimpin masyarakat dan rakyat harus saling menjaga serta membantu orang lain yang dijangkiti untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat. – BH Online