KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion terhadapnya.
Mahkamah sama turut menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas memutuskan pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah.
“Saya percaya kebenaran yang diberikan oleh Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan kes ini sudah pasti dilakukan secara sah. Oleh itu, permohonan ditolak,” katanya.
Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.
Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.
Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Thomas yang ketika itu selaku Peguam Negara.
Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun. – BERNAMA