SEREMBAN – Persefahaman di antara UMNO dan PAS dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) masih kekal, bukan sahaja dari segi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), malah segala usaha membabitkan kepentingan negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata walaupun berlaku kemelut politik yang sedikit ‘ribut’ baru-baru ini, ia tidak menjejaskan ikatan formula kerjasama parti itu dengan PAS dalam MN yang digerakkan pada 2019 lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama MN dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata mereka sering bermesyuarat dan berbincang pelbagai perkara, termasuk persiapan dan bagaimana untuk menghadapi PRU-15.
“Kami selalu berhubung walaupun tanpa mesyuarat secara formal kerana semangat MN itu masih lagi subur, semangat MN masih utuh. Dari segi persiapan menghadapi PRU-15 akan datang, antara kita sudah mencapai 70 peratus persefahaman menerusi mesyuarat yang diadakan setakat ini.
“Cuma seperti yang saya kata, kerusi yang menang kita punya, kerusi yang PAS menang adalah PAS punya. Formula masih sama, tidak timbul soal untuk kita ubah atau keluar daripada formula yang telah kita persetujui melainkan kalau ada perkara-perkara yang tidak boleh untuk bersetuju lagi, itu lain cerita,” katanya.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihanraya UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, berkata mesyuarat MN seterusnya akan diadakan dalam masa terdekat selepas beberapa kali ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini, hari ini.
Muafakat Nasional (MN) adalah gagasan kerjasama di antara UMNO dan PAS, dicetuskan hasil piagam yang dimeterai dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia itu ketika program Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.
Mengenai Kabinet baharu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berharap Jemaah Menteri dibentuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus fokus kepada tangungjawab yang diamanahkan dengan keutamaan adalah bekerja kerana negara masih dalam krisis kesihatan awam menghadapi COVID-19 selain krisis ekonomi.
“Saya ucapkan selamat bertugas, ini bukan masa untuk berbulan madu atau berlengah lagi, sebaliknya terus bekerja atas keutamaan kita untuk menangani krisis pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi dan lain-lain.
“Saya berharap menteri dan timbalan menteri dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik. Sebagai orang nombor dua dalam UMNO, parti akan sentiasa mendokong kerajaan kerana ia penting di mana kerajaan memerlukan dokongan kuat daripada parti,” katanya. – BH Online