1. Tertarik dengan satu hantaran di Facebook milik Hairi Mohd. Dalam hantaran tersebut saudara Hairi jelas menggambarkan kredibiliti DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Mahkota Johor sebagai seorang pemimpin.
https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10159450004384609&id=652284608
2. Saudara Hairi menegaskan bahawa Tunku Ismail seorang pemimpin yang mempunyai penampilan yang tersendiri dari segi ekspresi muka dan gerak tubuh. Ciri-ciri ini menggambarkan aura seorang pemimpin yang baik.
3. Berbalik kepada soalan saudara Hairi ‘apabila dengar raja-raja atau putera raja berucap, kenapa rasa paling yakin dengan ucapan Tunku Ismail?’
4. Untuk menjawab soalan ini, kita perlu akui bahawa Tunku Ismail merupakan seorang putera raja yang luar biasa. Tentunya tidak mudah untuk kerabat diraja seperti Tunku Ismail berada dalam kelompok masyarakat pada hari ini.
5. Namun, bagi Bangsa Johor terutamanya, kita dapat melihat Tunku Ismail sebagai seorang pejuang yang mempunyai agenda untuk kedaulatan negeri dan kesejahteraan rakyat Johor. Tetapi tidak bagi masyarakat luar yang hanya menginterpretasikan baginda sebagai seorang kerabat raja yang ingin mencari perhatian dalam segala hal termasuk dalam hal ehwal politik.
6. Itulah haikatnya, masyarakat hanya ingin tahu apa yang mereka ingin tahu sahaja, sedangkan interpretasi mereka terhadap Tunku Ismail selama ini masih kabur. Lebih-lebih lagi dengan pengaruh arus media massa yang jelas mempengaruhi minda masyarakat.
7. Apa yang jelas dapat kita lihat, terdapat aura keyakinan tentang Tunku Ismail. Salah satunya adalah sifat terus terang baginda yang berani untuk membicarakan tentang perkara berhubung kepentingan negara dan rakyat.
8. Boleh dikatakan suara baginda merupakan faktor penting dalam membangunkan negara ini. Walaupun baginda sering dikritik namun baginda tetap berdiri teguh bersama rakyat demi menjaga kebajikan rakyatnya.
9. Seterusnya, segala ucapan atau ulasan dari Tunku Ismail jelas menggambarkan seorang pemimpin yang matang dan berfikiran luar daripada kotak. Lebih-lebih lagi apa yang dibicarakannya itu mempunyai kebenaran walaupun pahit untuk ditelan oleh sesetengah individu.
10. Dalam masa yang sama, kita perlu akui Tunku Ismail merupakan pemimpin muda yang sentiasa memberi idea-idea bernas dan baharu dalam membangunkan pelbagai bidang termasuklah dalam bidang sukan.
11. Contoh jelas kita boleh lihat adalah menerusi temu bual Tunku Ismail dalam rancangan bola@mamak. Dari awal baginda buka mulut banyak perkara yang membuka mata dan minda masyarakat. Dari tidak tahu menjadi tahu tentang perkara yang dibahaskan.
12. Kredibiliti Tunku Ismail sebagai seorang pemimpin tidak dapat disangkal lagi. Reputasi yang baik selama ini telah membuktikan bahawa baginda berada dalam kelas tersendiri. Sesungguhnya, Tunku Ismail amat relevan untuk diangkat sebagai ikon belia yang memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya anak-anak muda pada hari ini.
Sumber: Facebook Gerakan Setia Johor