KUALA LUMPUR – Kerajaan membuat keputusan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Disember tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jemaah Menteri pada 10 September lalu turut memutuskan kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
“Keputusan semakan hakim isu Undi 18 di Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan supaya umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021.
“Justeru, walaupun dengan kekangan dan kekurangan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan berdasarkan kepada keputusan mahkamah,” katanya.
Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mengenai status pelaksanaan Undi 18 dan langkah-langkah diambil untuk melaksanakannya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. – BERNAMA