SANDAKAN – Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah rumah atas kedai di pusat bandar dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bayi lelaki dikenali sebagai Adam ditemukan rentung di dalam bilik di rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.09 malam dan sepasukan pegawai dan anggota selain enam jentera dan kenderaan utiliti menuju ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah rumah atas kedai sudah terbakar sepenuhnya dan pasukan bomba bertindak memadam kebakaran.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati terdapat seorang bayi rentung dalam sebuah bilik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketika dihubungi, Jimmy berkata, berdasarkan maklumat ibu saudara yang menjaga bayi berkenaan, semasa kebakaran berlaku, beliau terlalu cemas dan turun menyelamatkan diri.
Katanya, akibat cemas berkemungkinan ibu saudara mangsa tidak sempat membawa mangsa turun bagi menyelamatkan diri. Apabila tersedar dan ingin menyelamatkan mangsa, keadaan api sudah merebak. Mangsa memang tinggal bersama ibu saudaranya.
Jelas beliau, orang awam yang tinggal bersebelahan membantu menghubungi pihak bomba bagi memadam kebakaran dan seterusnya menyelamatkan mangsa.
Namun, mangsa tidak sempat diselamatkan kerana ketika bomba tiba, rumah tersebut sudah terbakar sepenuhnya.
Ikutti Twitter Mynewshub di sini