KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka memperkenalkan sistem percukaian baharu yang lebih seimbang, adil dan saksama apabila keadaan ekonomi negara berada dalam situasi lebih baik berbanding tahun ini.
Tanpa memperincikan cukai baharu itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah, berkata ia hanya akan diperkenalkan selepas mengambil kira kebajikan rakyat serta impaknya kepada kumpulan peniaga.
“Seperti yang sudah dinyatakan kerajaan sebelum ini, kita akui sistem percukaian mestilah bersifat lebih seimbang, adil dan saksama dalam kita mengaut hasil negara untuk dipulangkan kepada rakyat.
“Kerajaan hari ini amat prihatin. Kita tidak akan memperkenalkan langkah cukai tanpa mengambil kira faktor kebajikan rakyat serta kemantapan dan kelangsungan ekonomi negara, khususnya (impak) kepada peniaga.
“Itu sebabnya sebarang langkah cukai yang ingin dilakukan sudah pasti mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan.
“Insya-Allah, apabila ekonomi berada dalam keadaan yang lebih baik daripada tahun ini, kerajaan akan memperkenalkan satu cukai yang lebih seimbang dan saksama,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew, sama ada Kementerian Kewangan bersetuju bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih adil dan saksama, serta sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST.
Ketika menjawab soalan asal Senator N Balasubramaniam sama ada kerajaan melaksanakan ‘windfall tax’ atau cukai durian runtuh dan cukai laba modal, Mohd Shahar memaklumkan ia belum dilaksanakan.
Namun, kerajaan sedang menjalankan kajian berterusan untuk menstruktur satu sistem percukaian yang lebih seimbang, adil, saksama supaya dapat menyokong dan meningkatkan hasil negara.
Selain itu, kerajaan sudah melaksanakan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa (Akta 592) sejak 1999, yang dikenakan ke atas amaun untung yang melebihi paras nilai ambang harga pasaran minyak sawit mentah iaitu RM2,500 satu tan bagi Semenanjung dan RM3,000 satu tan bagi Sabah dan Sarawak.
“Pengenaan levi ke atas kelapa sawit berjaya memberi hasil tambahan kepada kerajaan sebanyak RM4.1 bilion sejak diperkenalkan hingga September 2021,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Balasubramaniam mengenai mekanisme supaya syarikat seperti Top Globe yang mencatat keuntungan hampir 350 peratus untuk bersama membantu golongan terjejas, Mohd Shahar berkata, kerajaan sedang melihat kepasa ekosistem percukaian yang lebih luas berbanding hanya levi keuntungn luar biasa.
“Kutipan levi keuntungan yang diperkenalkan hingga September 2021 hanya RM4.1 bilion, tapi cukai korporat yang dibayar oleh syarikat yang mengaut keuntungan setiap tahun adalah hampir 25 peratus daripada jumlah hasil negara.
“Perkara ini yang sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan untuk melihat apakah langkah terbaik untuk kita lakukan, bagi memberi keadilan kepada ekosistem pelaburan dalam negara,” katanya. – BH Online