KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan beliau sedia berdebat dengan Lim Guan Eng berkenaan dasar kabotaj negara pada 2 November ini.
Ka Siong yang juga Presiden MCA, berkata tarikh debat dengan Setiausaha Agung DAP itu dicadangkan pihak TV3.
Katanya, jika Guan Eng tidak bersedia pada tarikh itu, beliau boleh memilih mana-mana tarikh lain yang sesuai mengikut kesesuaiannya.
“Adoi. Apa sudah jadi dengan YB Lim Guan Eng. Kalau nak berdebat saya ok saja. Memang dari dulu saya ok, tak pernah tolak dan tak pernah tak hadir.
“Saya dah kata sebelum ini, pilihlah mana-mana tarikh selepas pembentangan Belanjawan 2022. Pihak penerbit TV3 juga menghubungi pejabat saya dan mencadangkan 2 November 2021, saya terus jawab OK.
“Nak debat, marilah. Saya sedia menanti. Kita hormati cadangan tarikh penerbit TV3. Kalau tarikh tentatif tak sesuai, ubah saja tarikh bila Guan Eng ada kelapangan. Nak berdebat selepas 2 November 2021 pun saya ok,”katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Jumaat lalu, Guan Eng dalam hantaran Facebook mendakwa tidak menerima maklum balas daripada pejabat Ka Siong untuk membincangkan cabaran debat berkenaan dasar kabotaj yang menyebabkan pemasangan kabel dasar laut Apricot sepanjang 12,000 kilometer tidak membabitkan negara ini.
Bekas Menteri Kewangan itu turut memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Debat Dasar Kabotaj kononnya dianggotai beliau, Ka Siong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membincangkan cabaran debat.
Semakan mendapati tangkap layar itu adalah hasut maya (troll) berdasarkan tulisan ‘Mobile Meme’ di penjuru atas kiri tangkap layar itu.
Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Guan Eng untuk berdebat selepas Ahli Parlimen Bagan itu bertanya di Dewan Rakyat adakah dasar kabotaj menyebabkan Malaysia tidak dilibatkan dalam projek pemasangan kabel dasar laut oleh syarikat gergasi teknologi.
Melalui dasar kabotaj, kapal berdaftar di Malaysia akan diberi keutamaan termasuk melakukan kerja pembaikan kabel di dasar laut.
Dasar itu pernah dikecualikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun dikuatkuasakan semula sewaktu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Pembatalan pengecualian kabotaj diumumkan Ka Siong pada November 2020 bagi mengurangkan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran perkapalan atau pajakan serta bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap kapal asing dengan meningkatkan pembabitan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.
Sementara itu, Ka Siong menyelar tindakan Guan Eng yang memfitnahnya apabila memuat naik tangkap layar kumpulan WhatsApp berkenaan sebagai tidak profesional dan berniat buruk.
“Tak payahlah Guan Eng pandai-pandai nak reka cerita kononnya saya wujudkan satu kumpulan WhatsApp antara saya, Guan Eng dan Speaker Dewan Rakyat.
“Ini terbukti niat buruk. Buat apa saya nak wujudkan WhatsApp ‘group’ ini? Tak ada kerja lain ke? Saya mohon Guan Eng bertenang, hentikanlah fitnah sebegini. ‘Low class’ dan tidak profesional,” katanya. – BH Online