PUTRAJAYA – Hanya satu kematian membabitkan pesakit COVID-19 yang dalam rawatan di hospital kerajaan semalam, membabitkan kes di Perak.
Pada masa sama, sejumlah 131 kes kematian tertunggak dilaporkan semalam, termasuk 26 kes kematian berlaku di luar fasiliti kesihatan, menjadikan kumulatif angka korban di negara ini mencecah 27,113 kes.
Data dipaparkan sesawang COVIDNOW menunjukkan, setakat ini seramai 5,450 pesakit COVID-19 meninggal dunia sebelum sempat menerima bantuan perubatan.
Sementara itu, mengenai kes kebolehjangkitan COVID-19, data berkenaan memaparkan sehingga kini sebanyak 129,049 kes yang masih aktif, daripada jumlah itu 103,717 kes atau 80.4 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu, sejumlah 16,558 kes bersamaan 12.8 peratus pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, hospital (7,947), unit rawatan rapi (ICU) dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (382) dan ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan (445). – BH Online