KUALA LUMPUR – Hanya tinggal 0.9 peratus sahaja lagi capaian suntikan vaksinasi populasi dewasa Malaysia diperlukan untuk membolehkan orang ramai merentas negeri.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang meminta masyarakat terus membudayakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menjalani ujian kendiri sebelum pulang ke kampung mahupun melancong.
“(Cuma) 0.9 peratus sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka.
“SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam dan lain-lain.
“Buat ujian kendiri sebelum balik kampung atau melancong,” ciapnya menerusi Twitter pagi ini.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan penilaian kendiri dengan melaksanakan Ujian, Lapor, Maklum, Kuarantin dan Dapatkan Rawatan (TRIIS).
Menerusi perkongsian infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV), sebanyak 89.1 peratus atau 21,004,275 populasi dewasa negara ini sudah lengkap vaksinasi manakala 94.6 peratus (24,309,648) menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan aktiviti merentas negeri akan dibenarkan sebaik tahap vaksinasi populasi dewasa negara mencapai 90 peratus. – myMetro Online