KUALA LUMPUR – Berikut ialah intipati Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini.
Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera mendokong tiga paksi utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.
Sebanyak RM332.1 bilion disediakan dalam Bajet 2022, tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini
Kerajaan perkenal Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) salur bantuan RM2,000 kepada isi rumah mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500.
Di bawah BKM kerajaan beri bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan sehingga RM5,000.
Bantuan tambahan RM300 diberikan kepada warga emas menerusi BKM.
Syarat kelayakan kebajikan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169, berbanding RM980.
Kerajaan sediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia untuk pimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak.
Sebanyak RM32.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.
Kerajaan bercadang beri pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.
Kerajaan bercadang meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula, perluaskan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin.
Kerajaan setuju sambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi maksimum empat tahun selepas tempoh khidmat wajib dua tahun. – BERNAMA