PETALING JAYA – Bermula esok, kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri selepas kelonggaran diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Menurut Ismail Sabri, peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus.
Perdana Menteri mengumumkan khabar gembira itu dalam sidang media khas hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan, sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai esok, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi 90%.
“Rentas negeri dibenarkan bermula esok. Pergerakan termasuk pulang ke kampung. Saya percaya ramai tertunggu pengumuman ini,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Menurut beliau, dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 7,373 kes baharu Covid-19 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada 2,339,594 kes. – UTUSAN ONLINE
IKUTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI