KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai memakai pelitup muka jika yang hendak bersembang atau melepak selepas menjamu selera di kedai makan.
Beliau berkata, ketika ini ramai individu dilihat tidak memakai pelitup muka selepas makan dan bersembang dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) itu.
“Peringatan Mesra. Sila memakai pelitup muka anda setelah selesai makan.
“@KKMPutrajaya melihat terlalu banyak contoh orang berborak selepas makan dengan tidak memakai pelitup muka.
“Bila dah habis makan dan mahu sembang selepas itu, pakai semula pelitup muka. #ReopeningSafely,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Ciapannya itu mendapat perhatian ramai sehingga menarik lebih 5,500 ciapan semula yang rata-ratanya turut berkongsi pandangan serta pengalaman.
Berdasarkan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi negeri berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pelitup muka hanya dikecualikan ketika makan di tempat awam tanpa ada individu lain. – BH Online