KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan penerima vaksin COVID-19 keluaran Sinovac akan disuntik dengan vaksin berbeza bagi dos penggalak.
Sementara penerima vaksin Pfizer akan diberi jenis vaksin yang sama untuk dos penggalak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia susulan jawatankuasa pakar KKM diketuai Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalai Peariasamy, memberi `lampu hijau’ kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) untuk melaksanakan pemberian vaksin secara heterologus, iaitu campuran vaksin berbeza.
Katanya, penerima vaksin Pfizer akan ditawarkan mengambil dos penggalak selepas enam bulan lengkap divaksin, manakala penerima vaksin Sinovac selepas tiga bulan menerima suntikan kedua.
“Penerima vaksin Pfizer akan disaran dos penggalak homologus, iaitu vaksin Pfizer untuk dos ketiga, enam bulan selepas menerima dos kedua.
“Untuk penerima Sinovac, anda akan disarankan vaksin Pfizer untuk dos penggalak dalam tempoh tiga bulan selepas dos kedua.
“Ketika ini, kita mulakan (pemberian dos penggalak) kepada petugas barisan hadapan dan warga emas terlebih dahulu,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Khairy memberi jaminan suntikan membabitkan campuran vaksin COVID-19 berbeza adalah selamat dan beliau sendiri sudah mendapat dos penggalak yang berbeza daripada yang diterimanya bagi dos pertama dan kedua.
“Saya adalah penerima vaksin Sinovac (untuk dos pertama dan kedua). Sebelum saya menghadiri persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), saya sudah mendapatkan dos penggalak keluaran Pfizer.
“Semuanya selamat dan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan perincian mengenai dos penggalak bagi penerima vaksin AstraZeneca akan diumumkan tidak lama lagi.
“Begitu juga pilihan dos penggalak bagi individu tertentu. Misalnya mereka yang memiliki alahan dan tidak boleh mengambil vaksin mRNA mungkin ditawarkan dos penggalak Sinovac atau AstraZeneca,” katanya.
Khairy turut menjelaskan bahawa penerima dos penggalak tidak perlu memohon kepada KKM, sebaliknya mereka akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, dengan kelayakan ditentukan berdasarkan sela masa dari tempoh menerima dos kedua vaksin COVID-19.
Selepas mendapat pemakluman di aplikasi itu, katanya, individu yang layak akan diminta pergi klinik swasta atau hospital untuk mendapatkan dos penggalak.
“Dari segi status vaksinasi, anda dianggap lengkap divaksin jika sudah melengkapkan vaksinasi utama (dua dos bagi vaksin Pfizer/Sinovac/AstraZeneca; satu dos CanSino).
“Dos penggalak tidak diperlukan untuk anda dikira lengkap divaksin, buat masa ini. Namun, ia amat digalakkan,” katanya. – BH Online