KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata kerajaan ketika ini meletakkan syarat hanya pengembara lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia, selain sempadan negara masih belum dibuka kepada pelancong.
“Kalau kita lihat dari segi sejarah, walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara juga diambil kira.
“Setiap tindakan kerajaan, kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris, sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan COVID-19 nasional jika berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu apabila sempadan dibuka.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, KKM akan membuat penilaian risiko semasa jangkitan COVID19 di dalam negara, sebelum memuktamadkan keputusan mengenai pembukaan semula sempadan.
Selain itu, katanya, kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan professional serta pelabur asing sudah dibenarkan ketika Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, mulai Jun 2020.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran masuk itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan, termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin disediakan.
“Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini dan bermula 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.
“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diberikan kebenaran berkenaan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko KKM juga akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.
“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Keseluruhannya, kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan keutamaan untuk pemulihan ekonomi.”
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakyat ‘Keluarga Malaysia’ kerana bersama-sama kerajaan dalam usaha pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya jangka, sedikit masa lagi, sasaran kita untuk mencapai 90 peratus penduduk divaksinasi akan dapat dicapai,” katanya. – BH Online