TOKYO – Puteri Mako yang juga puteri sulung Putera Mahkota Akishino serta Puteri Mahkota Kiko di Jepun, berkahwin dengan buah hatinya sejak zaman universiti, Kei Komuro, hari ini, menurut Agensi Rumah Tangga Imperial.
“Perkahwinan mereka sudah didaftarkan dan diterima,” kata seorang pegawai agensi itu kepada AFP.
Wanita dalam keluarga diraja Jepun tidak boleh menaiki Takhta Chrysanthemum, dan hilang gelaran mereka apabila mengahwini orang kebanyakan.
Namun untuk kali pertama dalam sejarah keluarga diraja pasca-peperangan Jepun, perkahwinan Puteri Mako bersama Komuro yang bekerja di sebuah firma undang-undang Amerika Syarikat (AS), didaftarkan tanpa upacara tradisional.
Malah, Puteri Mako menolak sejumlah bayaran tinggi yang lazimnya diberikan sebagai hadiah kepada wanita diraja apabila berkahwin.
Rakaman siaran televisyen menunjukkan Puteri Mako meninggalkan Kediaman Imperial Akasaka, sambil mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, tunduk hormat kepada ibu bapa dan media, serta mendakap adik perempuannya.
Dalam suasana ceria ketika bertunang pada 2017, Komuro dilaporkan menganggap Puteri Mako sebagai ‘rambulan’, manakala Puteri Mako pula menyifatkan senyuman pasangannya itu umpama matahari.
Bagaimanapun, laporan media kemudian mendakwa ibu Komuro gagal membayar balik sejumlah empat juta yen (AS$35,000) dipinjam daripada bekas tunang.
Baru-baru ini, Agensi Rumah Tangga Imperial memaklumkan, Puteri Mako mengalami gangguan tekanan pasca-trauma yang kompleks akibat perhatian diberikan pihak media itu.
Susulan itu, pasangan terbabit menangguhkan perkahwinan mereka, dengan Komuro berpindah ke New York untuk mengikuti pengajian undang-undang pada 2018 – langkah yang dilihat sebagai usaha untuk meredakan perhatian negatif.
Komuro yang berjaya menamatkan pengajian, baru-baru ini, kembali ke Jepun pada bulan lalu.
Pasangan berusia 30 tahun itu dikatakan merancang untuk berpindah ke AS selepas berkahwin. – BH Online