KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi dan bilik video yang menempatkan wartawan di sini hari ini terdiam seketika apabila Datin Seri Rosmah Mansor menitiskan air mata dalam kaadaan sebak ketika memberi keterangan dalam kandang saksi.
Rosmah, 69 , menitiskan air mata semasa membaca keterangan iaitu “Ini adalah perbuatan zalim (pendakwaan) dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution(pendakwaan berniat jahat dan terpilih) terhadap saya,” katanya.
Sejurus keadaan sebak itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar prosiding kemudian bertanya kepada Rosmah “Are you OK? (anda OK),” sambil mengesat air mata Rosmah kemudian menjawab “I’m sorry your honour, I’ve gone through a lot,” (Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara).”
Terdahulu Rosmah dalam keterangan pembelannya berkata pendakwaan lebih suka untuk memanggil bekas Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Datuk Seri Alias Ahmad, Saidi Abang Samsudin dan Datuk Rizal Mansor sebagai saksi pendakwaan tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka, supaya mereka menunding jari kepadanya.
Sebelum itu, Rosmah memberitahu mahkamah beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai wang RM6.5 juta termasuk menerima wang itu seperti yang dipertuduhkan ke atasnya.
Beliau berkata, wang RM6.5 juta yang diletakkan dalam empat buah beg yang konon diterimanya dari dua buah tempat adalah satu pertuduhan dan pembohongan besar.
“Saya tidak pernah pun menerima wang RM5 juta dari dua buah beg bagasi di Seri Perdana pada 20 Disember 2016. Selain itu berkenaan dengan kewujudan dua buah beg hitam jalur oren, yang kononnya mengandungi RM1.5 juta yang diberi kepada saya di rumah Langgak Duta, juga ianya tidak pernah ditunjuk mahupun diterima saya pada 7 September 2017,” katanya.
Dalam pada itu Rosmah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak pernah membantu Jepak Holdings Sdn. Bhd. untuk mendapatkan minit-minit Perdana Menteri bagi mendapatkan projek solar hibrid.
Berhubung dengan isu kononnya beliau meminta bantuan dengan beberapa orang saksi pendakwaan antaranya Tan Sri Madinah dan Datuk Seri Alias untuk melicinkan atau mempercepatkan pemberian kontrak kepada Jepak, serta mempercepatkan pembayaran kepada syarikat itu, Rosmah berkata ia adalah tidak berasas serta tidak logik sama sekali.
“Jawapan saya mudah, sekiranya benar saya ingin dapatkan kepentingan serta bantuan di dalam projek solar hibrid tersebut, saya tidak perlu bersusah-payah untuk meminta bantuan kerana saya boleh secara terus minta bantuan suami saya (Datuk Seri Najib Tun Razak) Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.
“Namun, hal tersebut tidak pernah berlaku. Datuk Najib lebih berkuasa untuk meluluskan dan mempercepatkan bayaran-bayaran atau apa sahaja mengenai projek solar hibrid tersebut. Tetapi hakikatnya, saya sama sekali tidak berbuat demikian kerana adalah prinsip saya untuk tidak campur tangan urusan pentadbiran mahupun perolehan kerajaan,” katanya.
Perbicaraan bersambung lagi esok.
Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017. – K! ONLINE